ad ld

Pages

Thursday, July 15, 2010

Program Imam Muda Dapat Liputan Di Jerman, Switzerland

FRANKFURT: Media di Jerman dan Switzerland melaporkan secara meluas mengenai program realiti televisyen Malaysia berjudul "Imam Muda".

Ketika negara barat memperkenalkan program uji bakat televisyen bagi memilih bintang, Malaysia menganjurkan "bintang imam" dalam satu program pencarian bakat, seperti yang dilaporkan oleh beberapa akhbar di Jerman dan Switzerland. Butiran mengenai program "Imam Muda" dilaporkan dengan meluas oleh akhbar harian daripada Tagesspiegel, Merkur Online menerusi n-tv.de, Bild.de, Sueddeutsche Zeitung sehinggalah kepada akhbar harian Switzerland, Tagesanzeiger.

Ia membuatkan pembaca begitu asyik, menerusi gambaran yang diketengahkan pembaca dalam komen mereka terhadap laporan berita itu. Menerusi program "Imam Muda", kira-kira lapan anak muda muncul di televisyen di Malaysia pada waktu perdana, lengkap berbaju Melayu dan bersongkok. Tagesanzeiger, misalnya menyifatkan calon berkenaan sebagai "superstar" di televisyen Malaysia dan melaporkan bahawa mereka nampaknya telah menjadi pujaan hati ramai wanita muda.

Berbeza dengan program realiti yang lain, apabila peserta lazimnya menyanyi atau menari, calon dalam program "Imam Muda" memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran, mengikuti latihan menguruskan jenazah untuk dikebumikan, dan berikrar untuk melindungi golongan muda Malaysia daripada seks serta dadah.
Program pencarian bakat yang disiarkan setiap minggu itu diketuai oleh seorang ulama terkemuka, Hasan Mahmud.

Beliau mewujudkan sekumpulan imam muda yang dapat dijadikan contoh dan menggunakan bantuan mereka untuk memerangi gejala "keruntuhan sosial dan moral." Calon terbabit, berusia antara 18 dan 27 tahun, dipilih berdasarkan kriteria personaliti dan pengetahuan agama mereka. Seperti juga dalam "American Idol" dan program bakat yang lain, calon disingkirkan setiap minggu apabila mereka gagal melayakkan diri.

Banyak penonton dan pembaca yang terkejut apabila mendapati sepanjang tempoh program itu, calon diasingkan dan ditempatkan dalam ruang tidur sebuah masjid tanpa telefon bimbit, Internet, televisyen dan peralatan moden lain; supaya mereka dapat "berfikir sendiri dan tidak perlu bergantung harap kepada bantuan atau galakan dari luar."

“Pemenang pertandingan itu berpeluang menunaikan fardu Haji di Makkah, bantuan kewangan untuk melanjutkan pelajaran di universiti di Madinah, dan bekerja di masjid," kata pengulas dalam akhbar harian Tagesspiegel yang diterbitkan dari Berlin. Akhbar Jerman itu menegaskan bahawa semua peserta yang mengambil bahagian pastinya "dikagumi oleh peminat remaja dan bakal ibu mentua."

"Bagi umat Islam, menantu yang ideal adalah bakal imam kerana mereka berpendidikan dan mempunyai pengetahuan mendalam tentang Islam," akhbar itu memetik Iselan Bazar daripada rangkaian Astro Oasis yang menyiarkan rancangan pencarian bakat agama itu. - Bernama

No comments: